Lembaga Zakat Selangor turut hulur bantuan kepada Zamri

Lembaga Zakat Selangor turut hulur bantuan kepada Zamri

Klang: Selain menerima pelbagai bentuk bantuan seperti diumumkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim serta Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), bekas pelumba negara, Muhamad Zamri Baba menerima satu lagi berita gembira.

Ia selepas wakil Lembaga Zakat Selangor (LZS) hadir ke rumah Zamri untuk menguruskan bantuan yang boleh diberikan atas inisiatif dilakukan Ketua Kampung/Pengerusi JPKK Kampung Batu 4, Adenan Buhari.

Menurut Adenan, beliau dimaklumkan keluarga Zamri pernah memohon bantuan daripada LZS sebelum ini, namun ia tidak diluluskan.

“Jadi saya cuba ketengahkan semula perkara ini dan Alhamdulillah, Lembaga Zakat (Selangor) akan proses sumbangan kepada Zamri.

Lembaga Zakat Selangor turut hulur bantuan kepada Zamri

“Saya dimaklumkan bahawa kosnya agak tinggi. Insya-Allah, kami akan berusaha sedaya upaya agar Zamri dapat bantuan yang diperlukan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Adenan, sebelum ini pihaknya bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) telah memberikan bantuan kepada keluarga Zamri.

Arena Metro sebelum ini menyiarkan mengenai kehidupan Zamri yang kini hanya mampu mengengsot dan menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Kehidupan bekas pelumba berusia 41 tahun itu, yang pernah bertanding melalui tiket wildcard dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Grand Prix (GP) Malaysia serta berlumba dalam musim penuh di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), berubah sepenuhnya selepas kemalangan tragis yang dialaminya semasa pusingan kedua ARRC di Litar Sentul, Indonesia pada Jun 2015.

Sejak kejadian itu, isterinya, Fazlina Ahmad Fauzy, 41, setia menjaga Zamri. Malah, dia juga mengambil alih tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan mencari rezeki untuk suami serta dua anak mereka, Muhammad Haiqal, 15, dan Muhammad Farish, 11.