Zakat Emas adalah zakat yang dikenakan kepada emas yang dimiliki oleh seseorang individu. Ia mencakupi emas yang digunakan sebagai barang perhiasan, disimpan untuk kegunaan masa hadapan dan sebagai pelaburan. Oleh itu, harus dikenakan zakat emas ke atas simpanan dan pelaburan emas seseorang untuk menyucikan harta dan hasilnya digunakan untuk membantu mereka yang memerlukannya.
Syarat Wajib Zakat Emas
Zakat Emas wajib dikeluarkan apabila memenuhi dua syarat utama:
Nisab: Jumlah minimum emas yang perlu dikeluarkan zakat ke atasnya adalah 85 gram
Haul: Emas perlu disimpan selama lebih dari satu tahun.
Jenis-jenis emas yang wajib dikenakan zakat
Terdapat beberapa jenis simpanan emas dan masing-masing mempunyai kriteria yang berbeza sedikit dalam menentukan sama ada wajib dilunaskan zakat ke atasnya atau tidak.
Emas Perhiasan: Jika emas yang digunakan secara harian melebihi nisab, maka zakat diwajibkan. Jumlah nisab adalah berbeza di setiap negeri mengikut pejabat agama masing-masing jadi pastikan nilai atau jumlah yang akan dikenakan zakat dengan lembaga zakat negeri anda
Emas yang Disimpan: Jika emas yang disimpan tidak digunakan, sama ada dalam bentuk barang kemas atau emas simpanan seperti syiling emas, jongkong emas dan sebagainya, emas ini tetap perlu dizakatkan asalkan nilainya melebihi nisab, iaitu 85gram, jika sudah cukup setahun haul emas ini disimpan.
Pelaburan Emas: Zakat dikenakan ke atas pelaburan dalam emas yang mematuhi prinsip syariah, seperti emas fizikal atau akaun simpanan emas di bank atau dengan mana-mana syarikat pelaburan emas.
Untuk mengira Zakat Emas, nilai semasa emas yang anda miliki perlu diambil kira.
Formula pengiraannya adalah:
Harga Emas Semasa x Nilai Emas (dalam gram) x 2.5%
Contoh Pengiraan Zakat Emas
Jika anda memiliki 100 gram emas dan harga semasa emas adalah RM250/gram, pengiraan zakatnya adalah:
100 gram x RM250 x 2.5% = RM625
Anda boleh membayar Zakat Emas dengan cara menentukan nilai emas yang akan perlu dizakatkan dan melakukan pembayaran tunai. Anda boleh membuat pembayaran melalui pusat pungutan zakat atau menggunakan laman sesawang yang disediakan secara dalam talian.
Bagi umat Islam yang memiliki emas melebihi nisab dan haul, menunaikan zakat emas adalah suatu kewajiban. Selain membersihkan harta benda, ia juga membantu meningkatkan kesejahteraan individu yang bergantung kepada bantuan zakat dan baitulmal. Jika anda atau pasangan anda ada menyimpan emas dalam apa bentuk sekalipun, pastikan anda mengira semula dan mendapatkan jumlah serta nilai segala simpanan emas anda agar dapat melunaskan zakat emas dengan cekap bagi memenuhi tanggungjawab ini.
Aduan & Maklum Balas
Copyright 2024 © All Rights Reserved. bayarzakatmalaysia.my
Copyright 2024 © All Rights Reserved.
bayarzakatmalaysia.my